Dua dijumpai rentung dalam pondok kebun pisang

Hebahkan !!!

JOHOR BAHRU, 11 Okt  — Dua individu ditemukan rentung dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah pondok di Kampung Parit Sungai Bunyi dekat Pontian, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mustafa Bakri Salleh berkata bagaimanapun identiti dan jantina kedua-dua mangsa masih belum dapat dikenal pasti setakat ini.

Katanya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan kawasan kebun tanaman pisang dan timun yang dikelilingi dengan pagar ‘zink’ dan pondok itu mempunyai wayar elektrik yang berhubung dengan tiang elektik berdekatan.

“Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Pontian untuk proses bedah siasat. Siasatan awal oleh pihak forensik polis dan bomba menunjukkan tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru Penolong Penguasa Bomba Iqbal Raduan menerusi kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.45 petang.

Namun kebakaran yang telah memusnahkan 90 peratus pondok itu telah dipadamkan oleh orang awam sebelum pihaknya tiba.

“Pihak bomba dimaklumkan bahawa terdapat satu mangsa rentung, namun setelah pemeriksaan dilakukan…kita menjumpai dua mangsa,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *