Sindiket pelacuran hotel bajet tumpas

Hebahkan !!!

Johor Bahru: Sebuah sindiket pelacuran tumpas dengan penahanan 13 ahli sindiket menerusi beberapa serbuan Ops Noda di hotel bajet sekitar bandar raya ini.

Sindiket terbabit menggunakan pelbagai taktik bagi mempromosikan pelacur termasuk membuat penghantaran ke tempat pelanggan dan juga membuat sistem bayaran hutang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, aktiviti sindiket yang aktif sejak 2018 ditumpaskan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dengan kerjasama JSJ Bukit Aman.

Katanya, pihak polis menahan 13 ahli sindiket termasuk seorang wanita dalam serbuan pada 27 Ogos dan semalam.

“Dalam serbuan itu, seramai 31 pelacur warga asing berusia 19 hingga 63 tahun turut ditahan membabitkan Vietnam (22), Indonesia (9) dan seorang Thailand.

“Sindiket pelacuran terbabit beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu dengan mengenakan bayaran antara RM190 hingga RM650 bergantung kepada pakej yang ditawarkan.

“Gambar pelacur akan dipromosikan melalui aplikasi Wechat, Michat dan WhatsApp,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Menurutnya, ahli sindiket juga akan menarik perhatian pelanggan yang lalu lalang di hadapan premis dengan menunjukkan gambar pelacur melalui telefon.

Katanya, pelanggan kemudian akan dibawa ke tingkat atas hotel bajet jika berminat mendapatkan khidmat pelacur terbabit.

“Malah, ahli sindiket sanggup menghantar pelacur ke destinasi tertentu dengan caj penghantaran antara RM20 hingga RM50 bergantung kepada lokasi.

“Sindiket ini juga membenarkan pelanggan berhutang dan kebanyakan mereka terdiri warga asing dari Bangladesh.

“Warga asing kebiasaannya akan melanggan pelacur pada hujung minggu, dan nama mereka akan direkodkan dalam buku hutang sekiranya tidak mampu bayar,” katanya.

Menurunya, dalam serbuan itu, polis merampas 15 telefon bimbit, 123 kondom, tujuh kad akses pintu, dua botol minyak pelincir, sebotol minyak urut, lapan tuala, lapan gulung tisu dan wang tunai RM1,670,” katanya.

Katanya, pihak polis mendapati ada hotel bajet yang diubah suai kepada bilik-bilik kecil sehingga menjadi 10 bilik pada satu tingkat.

“Justeru, kita berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memainkan peranan dengan melakukan pemeriksaan kerap ke atas hotel bajet terbabit yang bertindak melakukan ubah suai.

“Kesemua suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 373 dan Seksyen 372 B Kanun Keseksaan.

“Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 39 (B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (1)(C) 1959/63 serta Seksyen 15 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, pihak polis akan terus mengesan dalang dan saki baki sindiket yang masih bebas beroperasi untuk tindakan lanjut.

 

Hmetro

Leave a Reply