Perbincangan pembahagian kerusi di Selangor masih berjalan

Hebahkan !!!

 

SHAH ALAM – Perbincangan berhubung pembahagian kerusi Parlimen di Selangor untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih dilakukan dan belum dimuktamadkan.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, bagaimanapun perbincangan dijangka hampir selesai dan jawatankuasa Pas negeri turut menyerahkan semua keputusan berkenaan kepada pimpinan pusat.

Beliau berkata, Pas Selangor juga telah membentangkan beberapa justifikasi kepada pimpinan pusat bagi membuat keputusan berhubung pembahagian kerusi itu.

“Apa yang difikirkan kini ialah kerusi mana yang kita rasa justifikasinya sesuai dalam muafakat ini kerana perbincangan selama ini pun hanya antara Pas dan UMNO sahaja.

“‘Perbincangan masih berjalan dan saya boleh katakan perkara ini hampir selesai dan kita serah kepada pimpinan pusat untuk membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, proses pembahagian kerusi bersama komponan Barisan Nasional (BN), Maufakat Nasional (MN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat dimuktamadkan pada hujung bulan ini.

Beliau berkata, perbincangan berhubung pembahagian kerusi itu penting bagi menggelakkan berlakunya pertandingan tiga penjuru menjelang PRU15 nanti.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang berkata, Pas Selangor terbuka dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan pusat dan pihaknya berharap agar faktor kesaksamaan semua parti dapat diberi pertimbangan dalam sebarang langkah yang diambil selepas ini.

“Bagi menghadapi PRU15 ini juga, kita sudah lancar kan jentera dan membuat persiapan dalam memastikan semua gerak kerja berjalan lancar nanti,” katanya.

Artikel Penuh : 

Leave a Reply