Pemutihan PATI diadakan semula?

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengaktifkan semula program pemutihan pekerja asing tanpa izin (PATI) bagi menghadapi masalah kekurangan tenaga manusia di beberapa sektor.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa kerajaan secara prinsipnya telah bersetuju dengan program pemutihan.

Beliau memberitahu Nanyang Siang Pau, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri akan meneliti perkara itu secara lebih lanjut.

Selepas dimuktamadkan dua kementerian itu, perkara itu akan dipanjangkan kepada Kabinet untuk kelulusan dan pengumuman.

Michael berkata, pihaknya sebelum ini telah mencadangkan program pemutihan dan pertubuhan perindustrian dan perniagaan lain juga dipercayai telah membangkitkan isu sama.

Pelbagai sektor telah mengeluh mengenai masalah kekurangan pekerja selepas aktiviti ekonomi diaktifkan semula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Untuk menghadapi isu itu, kerajaan telah membenarkan pengambilan pekerja asing yang telah kehilangan pekerjaan, walaupun mereka sebelum ini berkecimpung dalam sektor berbeza.

Michael berkata, selepas membenarkan pengambilan pekerja asing dari sektor berlainan yang kehilangan kerja, program pemutihan akan membantu mengurangkan lagi impak masalah kekurangan pekerja.

Sementara itu, Michael berkata, data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan terdapat lebih 4,700 pekerja asing sah yang sedang mencari pekerjaan pada masa ini.

Katanya, majikan yang mahu mengambil pekerja boleh berdaftar melalui laman sesawang Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Jelasnya, pihak persatuan akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk melakukan pemadanan pekerjaan.

Selain itu, majikan juga boleh melepaskan pekerja asing yang ada untuk membolehkan majikan lain menggaji mereka. – MalaysiaGazette

Leave a Reply