Cukup Sekali “Terkurung”

Hebahkan !!!

PENGALAMAN ‘terkurung’ selepas kawasan mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengekang Covid-19 menjadi kenangan tidak dapat dilupakan penduduk terbabit yang berharap mereka tidak akan kembali menjalani kehidupan seperti itu lagi.

Sebelum ini, kawasan Batu 20 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat menjalani PKPD pada 30 Mac lalu sebelum ditamatkan pada 13 April lalu manakala Taman Sri Murni, Selayang dikenakan PKPD mulai 20 April hingga 3 Mei lalu.

Selain itu, kawasan lain dikenakan PKPD adalah Menara City One, Jalan Munshi Abdullah bermula 30 Mac hingga 13 April lalu, bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India sejak 7 April hingga 3 Mei lalu.

Ketua Kampung Batu 20 Sungai Lui, Mohd Ramdan Kamso berkata, walaupun pergerakan kini sudah bebas namun mereka masih perlu berhati-hati, tambahan pula negara berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, penduduk kini boleh menjalani kehidupan seperti biasa dan bekerja semula selepas pendapatan mereka terjejas sebelum ini kerana PKPD.

“Walaupun kes sebelum ini bukan dalam kalangan penduduk kampung sebaliknya pelajar tahfiz, namun kami sebagai penduduk turut terkesan.

“Rata-rata penduduk di sini bekerja sendiri seperti membuka kedai makan, berkebun dan pekerja kontrak bangunan. Justeru, kami bersyukur apabila dapat bekerja kembali untuk menyara kehidupan,” katanya

Mohd Ramdan berkata, mereka juga tidak mahu kembali dikenakan PKPD dan atas sebab itu, penduduk patuh pada arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya kekal selamat dan tidak dijangkiti Covid-19.

“Cuma kalau hendak dikatakan perubahan sejak PKPD, hanya kedai tomyam yang tidak dapat beroperasi kerana pekerja mereka warga Thailand belum dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Penduduk juga menyatakan mereka serik dengan PKPD kerana amat susah ketika itu,” katanya.

Menurutnya, penduduk juga tidak lupa memakai pelitup muka dan dia sendiri akan menasihati mereka jika terlihat ada yang tidak memakainya kerana norma baharu itu perlu diikuti.

Sementara itu, penduduk Fasa 3 Taman Sri Murni Hamidon Karim, 45, berkata, setakat ini penduduk termasuk dirinya mengikut SOP ditetapkan kerajaan dan mengamalkan cara hidup norma baharu.

“Pasar Borong Kuala Lumpur juga sudah tiada lagi warga asing dan sekitar jam 7 malam sudah mula sunyi tidak seperti dahulu.

“Cuma harapan saya supaya masalah Covid-19 ini akan cepat hilang dari negara kita dan keadaan kembali pulih seperti dahulu,” katanya.

Hmetro

Leave a Reply