Lelaki positif dadah direman berhubung kes dera ibu hingga maut

Hebahkan !!!
Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmorgamorty Chinniah

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Seorang lelaki yang positif dadah direman 16 hari bagi membantu siasatan kes dera ibunya sehingga membawa kematian di sebuah flat Program Perumahan Rakyat (PPR) di Jinjang Utara di sini pada 31 Julai lepas, kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmorgamorty Chinniah.

Beliau berkata, suspek yang juga anak kepada mangsa ditahan pada hari kejadian dan direman sehingga 15 Ogos ini.

Beliau berkata pada hari kejadian, pihak polis menerima panggilan pada kira-kira 8.10 malam daripada seorang lelaki yang menerima panggilan daripada ibu saudaranya yang menyatakan kejadian seorang wanita didera oleh anaknya.

“Pihak Polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang wanita (mangsa) berumur 70-an duduk kaku di sofa.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan bengkak pada tangan dan mata mangsa, serta kesan darah pada kepala dan kedua-dua belah kaki mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shanmorgamorty berkata siasatan awal mendapati mangsa telah dikejutkan dari tidur oleh suspek pada kira-kira 7.30 malam dan berlaku pergaduhan dengan suspek dikatakan memukul mangsa menggunakan objek keras.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulans dan disahkan meninggal dunia, serta terdapat saksi yang telah dirakam percakapannya, katanya.

Beliau berkata hasil saringan air kencing pihak polis mendapati suspek positif ganja dan heroin, namun tidak mempunyai rekod jenayah.

Bedah siasat mangsa telah dijalankan semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

— BERNAMA

Leave a Reply