Sugu Pavithra padam semua video masakan di Youtube

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR, 25 Julai — Pasangan YouTube sensasi Sugu Pavithra telah memadam kesemua video milik mereka di saluran media sosial itu.

Saluran Youtube yang memaparkan video masakan S. Pavithra, 28, dan suaminya, M. Sugu, 29, mendapat tumpuan ramai sehingga meraih sejumlah 786,000 pelanggan setakat ini dengan lebih 34 juta tontonan sejak 28 Jan lepas.

Semakan Bernama mendapati saluran YouTube mereka tidak mempunyai sebarang video dan hanya tertera perkataan ‘This channel doesn’t have any content (Saluran ini tidak mempunyai sebarang kandungan).’

Tindakan pasangan itu mendapat pelbagai reaksi warganet antaranya @AdikQemall: “SuguPavithra has some explaining to do. Why did they delete their videos? Why? (SuguPavithra perlu memberikan penjelasan. Kenapa mereka padam video mereka. Kenapa?” soalnya di laman sosial Twitter.

Seorang lagi pengguna Twitter @purrmaisuri berkata “Sugu/Pavithra if you reading this, you were there for us during MCO. We’ll be here for you during difficult times (Sugu/Pavithra jika anda membaca tulisan ini, anda berada di sisi kami ketika PKP. Kami akan berada di sisi anda pada masa yang sukar ini).”

Bagaimanapun, pasangan itu gagal dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Pasangan itu mencetuskan kontroversi apabila Sugu didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya.

Bagaimanapun, Pavithra dilaporkan telah memaafkan perbuatan suaminya itu.

Bernama merupakan media pertama melaporkan kisah pasangan tersebut pada 8 Mei lalu, yang ketika itu mempunyai sejumlah 420,000 pelanggan.

Empat hari selepas itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghadiahi pasangan suami isteri tersebut satu unit tripod dan beberapa barangan lain.

— BERNAMA

Leave a Reply