PRK Slim: Parti politik perlu lebih berani ketengah calon muda

Hebahkan !!!
Prof Dr Sivamurugan Pandian, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Julai — Parti politik perlu lebih berani mengetengahkan orang muda sebagai calon dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata parti politik perlu melangkaui nilai politik kepartian lama dalam menentukan pemilihan calon.

Beliau berkata sepatutnya calon yang dipilih parti politik mesti menjiwai strata latar kedudukan tempatan agar serasi dengan minda pengundi, bergantung kepada komposisi pengundi di suatu kawasan.

“Selama ini terlalu taasub dengan politik kepartian lama, tradisional sehingga lupa wujudnya generasi baharu yang perlu mengambil alih teraju kepimpinan negara dan parti.

“Calon muda harus ditampilkan dengan lebih ramai lagi tetapi melihat kepada amalan lama dan konvensional, stratifikasi dalam parti menentukan pemilihan calon, kekuatan bergantung kepada sejauh mana wujudnya pengaruh dalam parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘PRK DUN Slim: Kemestian Atau Kemungkinan’ yang disiarkan Bernama TV malam ini.

Senada dengan beliau, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berpendapat parti politik perlu mencari jalan menambat hati pengundi muda yang merangkumi 40 peratus daripada keseluruhan pengundi bagi PRK Slim.

 

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed

Beliau berkata pada ketika ini, rakyat khususnya pengundi muda mempunyai harapan besar kepada kerajaan selain turut mengharapkan pembangkang yang kuat.

“Rakyat mengharapkan pemimpin untuk memberikan yang lebih baik. Apabila berlaku penanda aras yang lebih baik, pada ketika itu (parti) yang hendak menawarkan perlu ada (penyelesaian) yang lebih baik lagi, contohnya isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dekat dengan pengundi muda,” katanya.

Anuar Shah berkata keputusan siri ke-12 PRK yang diadakan pasca PRU-14 ini tidak akan memberikan kesan kepada kerajaan negeri namun ia bakal dilihat sebagai pengukur prestasi sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Sivamurugan berpendapat PRK ini merupakan medan uji kaji untuk menilai kekuatan gabungan parti politik dalam situasi negara dilanda kemelut politik semasa serta melihat trend gelagat pengundi selepas rentetan peristiwa yang mendominasi politik tanah air.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan PRK ini tidak boleh dilihat sebagai indikator untuk menentukan bentuk pola pengundian dalam PRU-15.

— BERNAMA

Leave a Reply