COVID-19: Taiwan catat sifar kes baharu lima hari berturut-turut

Hebahkan !!!

TAIPEI, 8 Julai — Taiwan mencatat hari kelima berturut-turut tanpa kes baharu COVID-19 pada Rabu, menjadikan jumlahnya 449 sejak pandemik itu bermula akhir tahun lalu, menurut Pusat Kawalan Epidemik (CECC).

Setakat ini, 438 daripada 449 pesakit COVID-19 Taiwan telah pulih, tujuh meninggal dunia, dan empat lagi masih dikuarantin di hospital, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan (CNA) memetik kenyataan CECC.

Menurut data CECC, ia juga menandakan hari ke-87 berturut-turut tiada kes jangkitan tempatan.

Sementara itu, pada taklimat mingguan media, penasihat CECC Chang Shan Chwen berkata 213 individu yang mungkin mempunyai kontak dengan seorang pelajar Jepun yang disahkan dijangkiti COVID-19, semuanya telah diuji negatif.

Wanita Jepun, yang berusia 20-an itu, pelajar di sebuah universiti di selatan Taiwan sejak Februari sebelum disahkan positif COVID-19 dalam ujian PCR setelah beliau kembali ke negaranya pada 20 Jun.

Menteri Kesihatan Chen Shih Chung, merangkap ketua CECC, mengingatkan penduduk Taiwan supaya berwaspada terhadap COVID-19, kerana beberapa negara di seluruh dunia telah mengalami lonjakan kes baharu ketika sekatan dilonggarkan.

“Ia sebagai peringatan walaupun cuaca panas, masalah mungkin timbul jika kita tidak lagi memakai pelitup muka,” kata Chen.

Kali terakhir Taiwan merekodkan kes baharu COVID-19 pada 3 Julai, melibatkan seorang lelaki berusia 50-an yang kembali dari Afrika Selatan pada 1 Julai.

— BERNAMA

Leave a Reply