PBS sambut baik usaha Kementerian Dalam Negeri selesaikan isu pendatang asing tanpa izin di Sabah

Hebahkan !!!

KOTA KINABALU, 14 Jun — Parti Bersatu Sabah (PBS) menyambut baik pendekatan baharu Kementerian Dalam Negeri untuk berurusan dengan isu berhubung kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

Menyifatkan ia sebagai berita baik, Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, langkah berkenaan akan akhirnya diharap dapat mengatasi masalah yang sekian lama dihadapi berhubung kehadiran ramai pendatang asing tanpa izin di Sabah.

“Akhirnya, gesaan kita didengar, dan kita percaya ia akan dapat menyelesaikan isu yang sekian lama dihadapi. Hari ini, beberapa pemimpin kanan PBS dan saya berkesempatan bertemu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi membincangkan beberapa isu termasuk pendatang asing tanpa izin.

“Kami juga menyerahkan satu memorandum kepada beliau untuk berkongsi cadangan kami dalam menyelesaikan isu ini, yang sentiasa menjadi kebimbangan kita sejak parti ini ditubuhkan tiga dekad dahulu,” kata Ongkili dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Hamzah pada persidangan akhbar selepas melawat Pusat Tahanan Sementara Manggatal di sini hari ini berkata kerajaan akan hanya mengiktiraf dokumen IMM13 yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen ke atas pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah semasa perang saudara di selatan Filipina semasa 1970-an.

Kementerian akan menilai dan mengenal pasti mereka yang memegang dokumen IMM13 dan kemudian menyerahkan kepada kerajaan negara asal mereka untuk mengeluarkan dokumen perjalanan yang teratur kepada mereka yang berkenaan.

Ongkili berkata, “Kita yakin sepenuhnya kepada beliau (Hamzah) untuk menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin di Sabah. PBS menyokong sepenuhnya rancangan beliau.”

— BERNAMA

Leave a Reply