PKR umum tidak letak calon tanding PRK DUN Chini

Hebahkan !!!


Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 6 Jun — Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengumumkan tidak akan meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai depan setelah mengambil kira keadaan wabak COVID-19 yang masih belum ditangani sepenuhnya.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan perkara itu turut dipersetujui Majlis Presiden Pakatan Harapan walaupun kebiasaan baharu prosedur operasi standard (SOP) sedang dirangka berhubung perjalanan pilihan raya tersebut.

“Aspek keselamatan dan kesihatan pengundi pada ketika ini masih menjadi satu kerisauan. PKR berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

“Contohnya, larangan lebih daripada 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihan raya,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, akibat serangan jantung pada 7 Mei lepas.

Allahyarham, yang merupakan calon BN, menjadi ADUN Chini dalam kawasan Parlimen Pekan selama empat penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 dan mempertahankannya pada PRU ke-14 setelah memperoleh 10,027 undi.

Pada pertembungan itu, Allahyarham menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR Mohamad Razali Ithnin (1,065).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh hari penamaan calon PRK DUN Chini pada 20 Jun dan pengundian awal diadakan 30 Jun manakala hari mengundi ialah pada 4 Julai.

— BERNAMA

Leave a Reply