Rusuhan di AS, perintah berkurung dikuat kuasa di Washington

Hebahkan !!!

WASHINGTON, 1 Jun — Perintah berkurung dikuat kuasa di Washington susulan ketegangan antara penunjuk perasaan dan polis yang kian memuncak di luar bangunan Rumah Putih.

Datuk Bandar Muriel Bowser pada Ahad malam berkata perintah berkurung berkuat kuasa 11 malam Ahad (31 Mei) hingga 6 pagi Isnin (1 Jun), Pengawal Negara juga dikerahkan untuk membantu anggota polis tempatan, lapor agensi berita Xinhua.

Rusuhan di Washington itu sudah memasuki hari ketiga dan menurut Ketua Polis Peter Newsham pihaknya sudah menahan 17 orang pada Sabtu malam manakalla 11 pegawai polis turut cedera.

Orang ramai berang ekoran kematian lelaki kulit hitam George Floyd ketika ditahan anggota polis, rusuhan bermula di Minneapolis sebelum menular ke beberapa bandar lain termasuk Washington.

Floyd, 46, maut pada 25 Mei selepas seorang pegawai polis kulit putih Derek Chauvin bertindak di luar batas kemanusiaan ketika menahan mangsa.

Rakaman video menunjukkan Chauvin menekan lututnya di leher mangsa walaupun Floyd berulang kali mengatakan “tolong saya tidak boleh bernafas”.

— BERNAMA

Leave a Reply