‘Tak salah jadi manusia pelik’

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Yonnyboii dinilai seorang yang pelik hingga dihakimi dan disalah erti selama ini. Kelakuannya seperti orang terbuang menjadikannya anti sosial.

Di sebalik sikap peliknya, ramai yang tidak mengetahui penyanyi dan komposer baharu itu memiliki penyakit Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan.

Segala-galanya terjawab apabila Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin meluahkannya menerusi single solo berjudul Aku Itu Aku.

Pencipta lagu Sakit dan Cemburu berkolaborasi bersama Zynakal memilih tanggal 20 Mei lalu sebagai tarikh pelancaran lagu ciptaannya, sempena ulang tahun kelahiran ke-22.

Yonnyboii berkata, lagu Aku Itu Aku menggambarkan perasaan dan cabaran menghadapi ujian dunia.

“Single ini dilancarkan sempena hari jadi saya sebagai hadiah buat diri sendiri. Lagu ini umpama peringatan untuk diri yang semakin meningkat usia, tetapi saya masih orang yang sama.

“Dalam masa sama, saya ingin berkongsi kenapa orang menilai saya pelik hingga dihakimi dan disalah erti, selama ini. Sebenarnya, selepas membuat pemeriksaan saya mempunyai penyakit Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan.

“Jadi, terjawab kenapa saya berkelakuan seperti orang buangan dan sebagainya. Lagu Aku Itu Aku mengenai diri saya.

Saya adalah seorang yang normal, cuma sedikit istimewa. Apa yang penting, single ini boleh perbetulkan persepsi orang luar yang menganggap manusia tak sempurna,” katanya kepada BH Online.

Yonnyboii berkata, dia sedar sesiapa sahaja akan menempuh pelbagai ranjau dan duri dalam kehidupan, tetapi Allah menciptakan manusia sempurna dengan pelbagai sifat dan kerenah.

“Cuma, kita unik dalam pelbagai cara. Manusia dijadikan sempurna dan cantik dengan cara tersendiri. Bagi saya, tidak tepat mengatakan manusia tak sempurna,” katanya.

Yonnyboii yang menceburi bidang muzik secara profesional pada 2016 berkata, dia mempunyai alasan tersendiri kenapa memilih lagu Aku Itu Aku sebagai luahan hatinya.

“Saya sering dianggap budak pelik. Itulah persepsi orang ke mana sahaja saya pergi. Ini juga antara punca saya menjadi anti sosial. Saya sedar ramai tidak menyukai saya dan sering menjadi ‘bahan’.

“Apa ingin disampaikan, setiap orang ada kesakitan dan peningkatan dalam hidup. Saya pasti lagu ini boleh dikaitkan dengan sesiapa sahaja,” katanya.

Katanya, single Aku Itu Aku mendedahkan personalitinya yang sebenar kepada masyarakat.

“Saya hanya nak cakap, tiada masalah mahu menjadi pelik. Tiada salah menjadi diri sendiri. Kenapa perlu berselindung, ia hanya menyakitkan diri sahaja,” katanya.

Leave a Reply