Premis proses, jual arak di Johor diserbu

Hebahkan !!!

JOHOR BAHRU, 30 Mei — Sebuah premis memproses dan menjual minuman keras tanpa lesen di Jalan Bistari, Taman Industri Jaya, di sini, diserbu pihak berkuasa dalam operasi Op Landai, pagi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PMM) Wilayah Dua, Abdul Rahman Mohamad berkata dalam serbuan dilakukan oleh dua pegawai bersama 10 anggota itu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di premis, kita menjumpai 10 tong drum cecair alkohol dan 209 botol minuman keras yang tidak menepati undang-undang. Anggaran nilai rampasan termasuk cukai adalah berjumlah RM184, 286,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi PPM Wilayah Dua, di sini, malam ini.

Abdul Rahman berkata sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard disyaki digunakan sebagai pengangkutan untuk menghantar minuman keras berkenaan dan bernilai RM80,000 turut dirampas dalam serbuan terbabit.

Kesemua barang rampasan dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua untuk tindakan lanjut.

Beliau menyeru masyarakat supaya terus bersama-sama membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa terutamanya PPM Wilayah Dua melalui talian 07-2372221 atau 07-237222.

— BERNAMA

Leave a Reply