Issey, isteri raya tanpa anak-anak

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Pelawak Issey Fazlisham akur tidak dapat beraya bersama anak-anak berikutan larangan rentas negeri sepanjang sambutan Aidilfitri.

Namun, Issey dan isteri, Noor Aimi Mohamed Jamil, terganggu emosi apabila mengenangkan anak-anak yang berada di Kota Bharu, Kelantan.

“Sebelum ini, kami fikir boleh pulang ke kampung dan mengambil anak-anak. Tetapi selepas kerajaan mengarahkan tidak boleh merentas negeri pada musim raya, saya dan Aimi terpaksa akur biarpun sedih.

“Sedih dan sebak, namun, hendak buat macam mana. Kita fikir diri sudah terseksa, tapi kita kena ingat orang lain pun mengalami situasi sama.

“Dalam masa terdekat, saya dan Aimi akan cuba pergi lagi ke balai polis untuk membuat permohonan pulang ke kampung,” katanya kepada BH Online.

Issey atau nama sebenarnya, Fazlisham Mat Hussin, 32, menamatkan zaman duda dengan rakan sekolahnya, Noor Aimi, ibu tunggal tiga anak, pada 22 Disember 2018.

Noor Aimi yang sebelum ini bekerja di Kota Bharu, berpindah ke ibu negara selepas mendapat kebenaran majikan.

Bagaimanapun, usaha membawa tiga anak berpindah ke sini tertangguh berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah Issey, dia tidak mengetepikan anak-anak dan akan berusaha mengatur semula kehidupan keluarga.

“Mengenai persekolahan anak-anak, insya-Allah apabila PKPB berakhir, kami akan bawa mereka ke sini,” katanya.

Issey berkata, rumah baharunya belum siap selepas semua kerja tertangguh akibat PKP.

“Sebab itulah kami buat keputusan anak-anak tinggal di Kelantan dahulu. Apabila sudah berpindah ke rumah baharu, boleh putuskan lokasi sekolah mereka,” katanya.

Issey berkata, anak-anak sudah biasa dijaga nenek mereka di Kota Bharu.

“Mereka sudah biasa duduk bersama nenek. Sebelum ini, apabila Aimi bekerja, nenek mereka yang menjaga,” katanya.

Issey berkata, dia dan isteri sentiasa berhubung dengan anak-anak melalui panggilan video.

Sementara itu, Issey mengaku sayu di pagi raya kerana kali pertama menyambut Syawal tanpa ibu.

“Tahun lalu, selepas solat sunat Aidilfitri, arwah emak mahu melawat semua adik-beradik dan saudara-mara biarpun tidak larat.

“Ketika itu, kami nasihat jangan pergi. Namun, arwah berkeras. Rupa-rupanya emak mahu pergi sebab itu adalah Hari Raya terakhirnya.

“Sedih teringat kenangan itu. Raya tahun ini, perkara pertama yang saya ingat adalah arwah emak.

“Tapi Allah sudah aturkan, kalau tahun ini emak masih ada, bagaimana kami semua mahu balik,” kata penyampai radio Suria FM ini.

Ibu Issey, Asiah Haron, 62, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, pada 23 Julai lalu akibat serangan jantung.

Leave a Reply