Treler bawa 22,000 liter oksigen cecair terbabas di Lebuhraya PLUS

Hebahkan !!!

IPOH, 28 Mei — Sebuah treler membawa muatan 22,000 liter oksigen cecair (UN 1072) terbabas sebelum terbalik di bahu jalan di Km 391.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan selepas Hentian Rehat Gua Tempurung dekat sini, awal pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak  berkata pemeriksaan yang dibuat secara berhati-hati termasuk menggunakan sut kalis api bersama alat pernafasan mendapati tiada sebarang kebocoran dikesan setakat ini.

“Pihak bomba masih lagi menjalankan operasi di kawasan terlibat bagi memastikan benar-benar tiada kebocoran.

“Kami menerima panggilan kira-kira 6.31 pagi dan segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah serta bantuan daripada BBP Gopeng bagi kerja-kerja menyelamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pemandu dan kelindan lori mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan yang terbalik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata hasil soal siasat mendapati punca kejadian disebabkan pemandu yang beralamat di Padang Serai, Kedah itu mengantuk.

Beliau berkata keadaan cuaca baik ketika treler terbabas di kawasan jalan lurus dan cerun menurun itu.

“Aliran trafik juga dilaporkan bergerak lancar di lokasi kejadian,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply