Yana sedih kenang arwah adik

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Lenyap terus keinginan Yana Samsudin membeli juadah atau persalinan baharu menyambut Aidilfitri buat ahli keluarga, yang lazim dilakukannya, setiap kali menyambut Syawal.

Semuanya kerana keseronokan itu diragut pemergian adik tersayang, Allahyarham Muhammad Fahmi Harith, yang meninggal dunia secara mengejut, kira-kira dua bulan lalu.

Lebih menyayat hati, arwah yang baru 40 hari bergelar bapa kepada bayi comel diberi nama Fattah Muhammad Fahmi, ditemui tidak bernyawa sendirian di rumah sewa dengan baju anak di sisi.

Allahyarham menanti tiga tahun untuk menimang anak, namun, hanya sempat menjaga buah hatinya itu selama lapan hari.

Pastinya, paling terkesan dengan kehilangan adik yang juga satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, adalah kedua orang tua pelakon filem Adnan Sempit itu.

“Tahun ini, kami sekeluarga tidak bercadang menyambut Hari Raya kerana adik baru dua bulan meninggalkan kami.

“Kami memang sudah merancang tidak mengadakan rumah terbuka. Nasib baiklah, tahun ini, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Secara jujur, kami tiada ‘mood’ hendak membuat persiapan. Emak dan ayah di kampung juga sama. Mereka masih bersedih dengan pemergian arwah adik.

“Selalunya, saban tahun, saya membelikan baju raya untuk keluarga. Tahun ini, saya langsung tidak beli apa-apa untuk mereka,” katanya.

Yana, 35, berkata, dia hanya menempah sehelai baju untuk diri sendiri semata-mata bagi membantu perniagaan rakan pereka.

“Tapi untuk keluarga di kampung, saya minta emak paling tidak, buatlah satu atau dua jenis biskut. Bukan untuk sesiapa, tetapi untuk cucunya juga.

“Setidak-tidaknya, anak saudara saya ada memori menarik mengenai raya yang boleh mereka kenang sehingga dewasa,” katanya.

Yana berkata, disebabkan PKPB, dia dan suami, Fadhil Zahari serta anak tunggal mereka, Aisy Mateen yang berusia empat tahun, tidak dapat pulang ke Yong Peng, Johor.

Sebaliknya, keluarga kecilnya akan beraya di kediaman sendiri di Shah Alam.

Yana berkata, dia tidak berhasrat menyediakan sebarang juadah. Mujur suami memahami keadaannya.

“Sepatutnya, tahun ini giliran beraya di Yong Peng. Disebabkan PKPB, kami tidak dapat pulang.

“Tetapi saya tidak risau keadaan emak dan ayah di kampung. Adik beradik yang lain tinggal berhampiran dengan mereka.

“Jika tiada siapa-siapa di sana, mungkin saya akan risau, apatah lagi dengan keadaan mereka yang baru kehilangan anak.

“Lagipun mereka tidak sunyi. Cucu-cucu biasanya akan berada di rumah emak dan ayah pada hari cuti,” katanya.

Yana mengaku tidak pernah terbayang melalui episod kehilangan ahli keluarga yang paling rapat.

“Saya pernah kehilangan nenek. Tetapi kesedihan itu tidak sama dengan kehilangan adik.

“Rasa kehilangan itu cukup berat sekali apatah lagi kami pernah tinggal bersama-sama selama tujuh tahun sebelum saya berkahwin.

“Jika ternampak barangan arwah atau teringat kepadanya, saya pasti menitiskan air mata,” katanya.

Biarpun adiknya sudah tiada, kebajikan adik ipar dan Fattah tidak pernah diabaikan.

Beberapa hari sebelum PKP, dia sempat membawa adik iparnya, Farhana menguruskan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan motosikal milik arwah.

Mujur, kata Yana, urusan itu sempat diselesaikan sebelum PKP dikuat kuasakan pada 18 Mac lalu. Jika tidak, dia pasti terperangkap di Yong Peng.

Yana berkata, dia sempat bergegas pulang ke Shah Alam beberapa jam sebelum PKP dikuat kuasakan.

“Kebetulan, urusan arwah adik baru selesai di Johor Bahru. Selepas menghantar adik ipar pulang ke rumah kakaknya, saya dan suami bergegas pulang ke Yong Peng.

“Semua beg pakaian dan barang-barang Mateen termasuk botol susu tidak sempat diambil. Kami tidak mahu membuang masa kerana takut tidak dapat pulang ke rumah.

“Kami terus pecut ke Shah Alam dan sampai di rumah kira-kira jam 1 pagi. Apa yang penting, urusan adik ipar dipermudahkan.

“Dia pun tidak sempat pulang ke rumah keluarga di Sarawak dan terkandas di rumah kakak di Johor Bahru,” katanya.

Leave a Reply