Sambut raya ketika PKPB, gadis Tionghoa ‘kecek Kelate’ kenang zaman kanak-kanak

Hebahkan !!!
© Provided by Projek MM Wee Yun Nee, 23, fasih bercakap bahasa Melayu dalam dialek Kelantan selepas dua tahun menetap di negeri itu. — Foto ihsan Instagram/Yuyun

KUALA LUMPUR, 24 Mei, — Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di Kelantan menjadi kenangan manis yang tidak dapat dilupakan oleh gadis manis berketurunan Cina-Siam yang telah muncul menarik perhatian ramai pihak.
Menurut Wee Yun Nee, 23, kenangan yang terpahat di ingatannya sewaktu menetap di Pengkalan Chepa ketika berumur 10 tahun ialah pendedahan kepada budaya menziarahi rumah rakan-rakan ibu dan ayahnya yang beragama Islam pada hari raya.

“Teringat masa dok (duduk) Kelantan dulu. Selalu pergi (ziarah hari raya) rumah kawan mak ayah,” kata Yun Nee atau mesra dipanggil Yuyun kepada ProjekMM.
Gadis Cina yang juga pelajar tahun akhir Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) itu bukan lagi asing bagi sebilangan besar warga maya terutamanya di negeri Pantai Timur setelah Yuyun muncul bersama seorang abangnya bercakap loghat negeri itu lalu menjadi tular sejak sebulan lalu.
Menariknya, pengalaman menetap di Kelantan selama dua tahun itu telah membolehkan Yuyun serta adik-beradiknya yang lain fasih berkomunikasi dalam loghat negeri itu di samping ‘membawa’ bersama budaya ziarah pada Aidilfitri serta menyediakan juadah seperti ketupat, lemang dan rendang pada hari raya.
“Lemang dan ketupat kegemaran saya. Kalau waktu raya atau sebelum (raya) pun kami akan pergi beli. Tahun lepas kami masak sendiri,” terang Yuyun mengenai juadah wajib hari raya itu yang mendapat tempat di hati ahli keluarganya sewaktu ketibaan hari lebaran.
Tambahnya, amalan kunjung-mengunjung ketika hari raya sering dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya selepas keluarga berhijrah ke Kuala Lumpur dan bukanlah asing bagi keluarganya meraikan hari raya memandangkan kejiranan tempat tinggal mereka di sini sering mengadakan rumah terbuka pada setiap tahun.
“Memang perpaduan kaum sangat kuat (di kawasan perumahan),” kata Yuyun yang berharap kuih Suji dan Biskut Ais Krim menjadi kemestian sekiranya beliau menziarahi rumah kawan-kawan pada hari raya.
Ketika ditanya tentang kebenaran yang telah diberikan kerajaan berhubung aktiviti ziarah pada hari raya pertama ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ekoran wabak Covid-19, Yuyun menyambut baik langkah positif yang telah diumumkan itu.
“Saya rasa idea ini sangat bijaksana. Tapi rakyat kena bersyukur dengan kelonggaran yang diberi ini dan patuh dengan undang-undang yang ditetapkan seperti memakai penutup mulut dan hidung serta sanitizer,” kata Yuyun.
Melanjutkan jawapan tentang makanan kesukaan dari negeri itu, menurut Yuyun, Nasi Dagang dan Nasi Kerabu merupakan kegemaran beliau sehingga kini.
“Nasi Kerabu yang dipadankan dengan budu. Budu dengan sambal belacan memang wajib ada waktu makan dekat rumah,” kata Yuyun sambil ketawa.
Kerana minat dengan makanan Pantai Timur, Yuyun turut mengadukan hal tetang kesukaran beliau mencari Nasi Dagang dan Nasi Kerabu yang benar-benar asli di ibu kota berbanding yang pernah dirasai di Kelantan.
Menyentuh berkenaan tiga video ‘kecek kelate’ yang dimuat naik beliau di laman sosial sehingga menyebabkan ia tular, akui Yuyun tidak sesekali terlintas di fikiran untuk menjadikan ia tular serta mendapat perhatian ramai.
Menurutnya, kemunculan video pertama bersama abang, Wee Chuan Chin bulan lalu sebagai muat naik Insta Stories yang biasa dilakukannya. Ketika itu, video bertujuan mengalihkan perhatian selepas ‘penat’ belajar bahasa Mandarin lalu Yuyun mengajak Chuan Chin bersama-sama bercakap dialek negeri itu.
“Bagi saya bahasa Kelantan macam ia tersendiri dan dialek dia sangat lain daripada dialek lain dan ya, unik juga sebab lenggok percakapan,” kata Yuyun yang sering menggunakan loghat Kelantan sebagai bahasa perantaraan di rumah selain bahasa Hokkien, Thai dan Inggeris.
Gembira dengan maklum balas positif yang diterima daripada warga maya, penerima Anugerah Naib Canselor UTHM ketika di peringkat diploma lalu ekoran pencapaian cemerlangnya pada setiap semester menganggap bidang glamor di media sosial bukan tumpuan sebenar beliau ketika ini malah sekadar mengisi masa terluang secara sambilan.
“Secara sambilan sahaja sebab saya masih belajar dan masih banyak lagi benda yang saya kena fokus selepas itu seperti pekerjaan dan sebagainya,” kata Yuyun yang telah setahun bergelar duta syarikat aplikasi jual beli dalam talian, Shopee dan duta produk kecantikan Murad.
Selepas tular video pertama, Yuyun sekali lagi mencuri perhatian warga maya bersama abang ketiga Chuan Chin dan abang kedua, Wee Chuan Yuan bersahur dan berpuasa untuk pertama kalinya pada Ramadan keempat yang lalu.
Idea asal daripada Yuan itu juga tular di Instagram selepas video bersahur mendapat 134,670 tontonan serta video berbuka puasa pula meraih 289,091 jumlah tontonan setakat ini.

Leave a Reply