COVID-19: Pulau Pinang lakukan survei penilaian impak industri pelancongan

Hebahkan !!!

GEORGE TOWN, 19 Mei — Kerajaan Pulau Pinang menggesa pemain industri pelancongan di negeri ini untuk menyertai survei penilaian impak bagi menyediakan Pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini berkata survei secara dalam talian itu bertujuan mengukur kesan COVID-19 dan mengumpul input daripada  pihak berkepentingan dalam industri untuk mewujudkan rancangan pemulihan semasa dan pasca-COVID-19.

“Ia bagi mendapatkan maklum balas daripada sektor berbeza yang berkaitan dengan industri bagi mendapatkan gambaran menyeluruh sejauh mana kesan kepada antaranya industri seperti penginapan, tempat pelancongan, pengendali/ejen pelancongan dan penyedia pengangkutan.

“Pada masa sama, saya juga melibatkan sektor lain menerusi sesi meja bulat secara maya untuk mendapatkan gambaran menyeluruh dan pemahaman yang lebih baik mengetahui sejauh mana kesannya terhadap industri,” katanya.

Beliau berkata pihak yang berminat boleh menyertai survei dalam talian itu menerusi https://forms.gle/m5v7TUT2GA4vj4Gk8 sebelum 26 Mei.

— BERNAMA

Leave a Reply