Nora menangis khatam al-Quran

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Kejayaan khatam al-Quran pada 10 malam terakhir Ramadan adalah satu pencapaian luar biasa buat pelakon jelita, Nora Danish, 38.

Sebelum ini, pelakon yang melonjak populariti menerusi sitkom Puteri pada 2005 itu menangis minta pertolongan Allah SWT supaya memberikan jalan mudah mengaji hingga berjaya menghabiskan bacaan al-Quran.

Nora berkata, aturan Allah sangat cantik apabila berjaya menghabiskan bacaan pada 10 malam terakhir Ramadan.

“Allah Maha Mendengar tanpa mengira siapa dan bagaimana seseorang. Saya nakal dan suka ponteng mengaji pada masa kecil. Biasalah, perangai kanak-kanak.

“Sebab itu, saya menangis dan sebak pada saat berjaya khatam al-Quran. Saya anggap ini kejayaan luar biasa buat saya yang jahil ini. Saya juga tak sangka berjaya khatam al-Quran dalam pada Ramadan. Sukar saya nak gambarkan perasaan ketika itu.

“Saya percaya sekiranya kita terus merayu kepada Allah, pasti dikabulkan niat yang baik,” katanya kepada BH Online.

Di sebalik tangisan kegembiraan, pelakon drama Mak Cun lebih sayu dan sebak.

“Allah bukan sahaja memberikan saya kesempatan terindah dapat khatam al-Quran pada Ramadan ini. Apa yang membuatkan saya lebih tersentuh mengenai al-Quran digital yang digunakan.

“Tanpa diduga saya menerima mesej langsung di Instagram (IG) daripada Pengarah Operasi My Qalam Sdn Bhd, Siti Munirah Shahrudin yang mengucapkan terima kasih atas sudi menggunakan al-Quran digital dan memberi motivasi kepada orang ramai untuk mempelajarinya,” katanya.

Nora berkata, terlalu banyak permintaan mahukan al-Quran digital yang sama seperti yang digunakan.

“Ramai pelanggan ke kedai cakap mahu al-Quran seperti ‘Nora Danish’ punya. Tanpa disedari, dalam ketidak sempurnaan bacaan yang dikongsi menerusi IG Story membuat lebih ramai yang mahu membaca al-Quran. Alhamdulillah,” katanya.

Katanya, dia sentiasa percaya contoh yang baik akan menjadi dakwah dalam diam, selain mampu memberi inspirasi dan galakan.

“Apabila melihat kesungguhan teman seperjuangan, Siti Elizad Sharifuddin berjaya khatam al-Quran ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa menyuntik semangat saya melakukan perkara yang sama.

“Dalam hidup banyak contoh atau teladan baik yang boleh menyuntik semangat, apatah lagi pada fasa diuji ketika ini. Nak diikutkan, ada sahaja cerita tak elok dalam tempoh PKP termasuk kedegilan sikap segelintir masyarakat yang ingkar arahan kerajaan.

“Saya pilih menyerap aura positif, negatif pula tolak ketepi. Seperti berjaya khatam al-Quran, ia bermula melihat kejayaan Elizad dan saya terpanggil melakukan perkara yang sama,” katanya.

Pelakon filem Aku Terima Nikahnya dan Bukan Cinta Malaikat berkata, dia bersyukur berjaya menghabiskan bacaan al-Quran kali ini.

“Ada hikmah di sebalik PKP ini. Saya boleh memberi tumpuan penuh 110 peratus untuk menghabiskan bacaan al-Quran. Jika tidak, ada sahaja dugaan yang membantutkan niat. Insya-Allah, misi saya mahu mencuba menguasai isi terjemahan dalam al-Quran, selepas ini,” katanya.

Bagi Nora, proses khatam al-Quran tidak semudah yang difikirkan.

“Mungkin mudah bagi orang lain, tetapi tidak bagi saya. Niat mahu khatam al-Quran sudah bertahun tersekat, selain terbatas dengan kesibukan kerja. Akhirnya saya berjaya menghabiskannya.

“Bayangkan, tempoh PKP inilah terdetik dan tergerak hati nak cari pen al-Quran digital yang dihadiahkan Pencetus Ummah, Hafiz kepada anak saya, Putra Rayqal Ramli. Masa itu, saya hanya mahu memastikan Rayqal terus mengaji kerana bimbang dia terlupa sekiranya berhenti.

“Namun, aturan Allah jadi sebaliknya, saya pula terpanggil untuk mengaji. Berkat sokongan suami dan ibu, semuanya berjalan dengan sempurna. Saya hadiahkan kejayaan khatam pertama ini untuk arwah papa,” katanya.

Nora berkata, arwah bapanya meninggal ketika usianya 12 tahun akibat serangan asma. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Seattle, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Siti Munirah berkata, gara-gara entri yang dimuatkan naik Nora, My Qalam tidak menang tangan.

“Awalnya, laman website tersekat akibat terlalu banyak tempahan. Orang ramai mula beratur panjang hingga ke tangga kedai selepas melihat kejayaan Nora khatam al-Quran ini.

“My Qalam mohon maaf sekiranya terlepas pandang mesej yang dihantar kepada laman IG, @myqalamhqofficial sejak beberapa hari lalu. Diakui, kami tak menang tangan menerima mesej bertanyakan al-Quran digital yang digunakan Nora,” katanya.

Leave a Reply