113 PATI kena cekup di PKPD Selayang Baru

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Seramai 113 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi di sebuah penempatan warga asing di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Selayang Baru dekat sini, semalam.

Operasi yang bermula jam 9 pagi itu meliputi seluruh zon dalam kawasan Selayang Baru yang dikenakan PKPD ketujuh itu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata lokasi yang diserbu itu menjadi tumpuan tempat tinggal warga asing yang majoritinya bekerja di kawasan di Pasar Borong Kuala Lumpur, di Selayang.

“Seramai 1,683 orang warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 113 orang PATI ditahan dan dibawa untuk proses dokumentasi di Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur, Jalan Duta.

“Majoriti warga asing di kawasan ini ialah etnik Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua yang ditahan terdiri daripada 63 orang warga Indonesia, Myanmar (22), India (19), Bangladesh (6), Pakistan (2) dan seorang warga Nepal.

PATI yang ditahan terdiri daripada 66 orang lelaki, 36 orang wanita dan 11 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki dokumen (pas/permit) palsu dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Kesemua mereka akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka semua akan diusir ke negara asal setelah menjalani hukuman dan akan disenarai hitamkan,” katanya.

Tambah Khairul Dzaimee, kesemua warga asing yang ditahan itu disahkan negatif COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi dijayakan 210 orang pegawai JIM dibantu 75 orang anggota polis serta 62 anggota daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), KKM, Majlis Perbandaran Selayang, dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Leave a Reply