PRK N23 CHINI – KRITERIA CALON JADI PERHATIAN TENTUKAN KEMENANGAN

Hebahkan !!!

Mendepani Prk Pasca Covid19, Yang Terpilih Perlu Siaga Diri




CHINI, 11 Mei – MENJELANG Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berikutan kematian penyandangnya Dato Seri Abu Bakar Haron pada 8 Mei lalu, isu calon mula menjadi tumpuan.

Rakyat tentunya ternanti-nanti siapakah calon wakil rakyat yang akan menjadi taruhan setiap parti politik yang bakal mengambil bahagian dalam PRK sulung pasca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).



Namun, menjadi calon bukannya mudah sebaliknya banyak kriteria perlu diambil kira, bukan sekadar tangkap muat. Ini kerana apabila menang pilihan raya dan seterusnya bergelar wakil rakyat kelak, besar tanggungjawab yang harus dipikul.

Maka, amat penting bagi setiap parti memilih calon berwibawa untuk diundi rakyat. Tiada guna parti berkempen siang dan malam, tetapi calon yang diketengahkan langsung tidak memiliki kriteria sebagai pemimpin berwibawa selain memiliki pengetahuan dan pengalaman, peribadi yang bagus, kemahiran berkomunikasi yang cemerlang dan mampu ‘pergi jauh’ sebagai seorang YB.



Bukan saja aspek kredibiliti, pengundi juga cenderung untuk memilih calon yang bersih dan tidak terlibat dalam sebarang salah laku dan kontroversi.

Faktor umur dan tahap kesihatan yang baik juga perlu menjadi pertimbangan parti politik. Ini berdasarkan beberapa kes wakil rakyat yang dipilih jatuh sakit atau meninggal dunia walaupun baru beberapa tahun memegang jawatan.

Selain itu, wakil rakyat bukan hanya dinilai daripada kekerapan mereka bertemu penduduk, malah kredibiliti mereka juga akan teruji di Parlimen atau sidang DUN dalam membawakan isu-isu setempat dan isu nasional.

Oleh itu, amat penting untuk pengundi memilih calon yang berpengetahuan luas, berpengalaman serta memiliki kebolehan berkomunikasi yang baik.

Setiap kali pilihan raya, dua persoalan besar sentiasa bermain di fikiran ramai. Pertama, apakah calon dipertaruhkan sesebuah parti benar-benar mampu meraih sokongan rakyat dan keduanya, sejauh manakah calon yang dipilih itu diterima oleh jentera parti?

Apakah pemilihan calon pada PRK N23 DUN Chini nanti masih menggunakan beberapa strategi sama antaranya siapa yang parti mahukan, berupayakah calon meraih undi simpati atau paling tipikal calon adalah dalam kalangan pemimpin utama di peringkat bahagian, ranting, kawasan dan sewaktu dengannya?

Kalau itulah strateginya, ia boleh dianggap telah lapuk dan gerak kerja politik tidak cerdik. Lebih malang, apabila wujud keyakinan calon memperoleh kemenangan bersandarkan faktor calon lawan bergelut dengan krisis sama ada peribadi mahupun parti yang diwakili.

Jadi, ciri-ciri calon mana jadi pilihan? Wakil rakyat yang bagaimana jadi idaman pengundi?

Antara ciri-ciri yang perlu ada dalam setiap keutamaan pilihan tentunya tertumpu kepada seorang calon yang bersih dan boleh membawa DUN, negeri dan negara ke arah masa hadapan yang lebih baik.

Ini bukan era 70-an yang mana rakyat tidak begitu ambil kisah siapa calon, kerana keutamaan lebih kepada parti, namun dalam konteks hari ini, masyarakat mempunyai pendirian sendiri tanpa dipengaruhi ibu bapa dan rakan-rakan, malah masing-masing membuat keputusan berdasarkan kematangan, pendidikan dan pengalaman.

Justeru, parti politik juga perlu seiring dengan perubahan dalam masyarakat yang memerlukan calon bersih dan berdedikasi demi kelangsungan yang lebih baik.

Manakala ciri-ciri fizikal hanyalah antara elemen sampingan, dan perkara ini dapat dilihat secara jelas melalui keperibadian beberapa tokoh politik yang petah berpidato, kuat bekerja dan terhindar daripada pelbagai kisah buruk.


Pada hari ini kita perlu realistik dengan keadaan semasa mengenai kredibiliti calon, tidak salah meletakkan orang muda atau tidak salah meletakkan calon wanita asalkan calon itu mesti mempunyai nilai integriti yang tinggi, amanah dan sanggup mengutamakan kepentingan awam melebihi kepentingan individu.

Justeru, calon YB perlu melihat kuasa politik adalah amanah dan khidmat kepada rakyat dan bukannya cara untuk mencapai cita-cita peribadi.

Penulis – Aisyahzahra Ayob

Leave a Reply