PAS belum muktamadkan calon MB Kedah – Naib Presiden

Hebahkan !!!

ALOR SETAR: Pimpinan PAS belum memuktamadkan calon untuk dilantik menjadi Menteri Besar Kedah yang baharu kerana perbincangan mengenai perkara itu masih dilakukan.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Kedah dan pimpinan parti negeri, hari ini.

Beliau berkata, perjumpaan turut membabitkan dua wakil UMNO, iaitu ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor, serta ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaakob.

“Hari ini, (pimpinan) jumpa ADUN PAS dan UMNO Kedah. Bincang macam-macam perkara (termasuk) urusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan sebagainya.

“Calon Menteri Besar terserah kepada Tuanku (Sultan Kedah), sekarang masih ada Menteri Besar. Buat masa ini, (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir) masih Menteri Besar,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Kedah, di sini, hari ini.

Ditanya bila PAS akan memohon menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, beliau bagaimanapun memaklumkan tidak mengetahui perkara itu.

Terdahulu, Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, mengadakan pertemuan dengan kepimpinan PAS dan UMNO Kedah dipercayai bagi membincangkan peralihan kuasa kerajaan negeri.

Yang turut hadir, Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Yahaya; dan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Takiyuddin ketika diminta mengulas mengenai calon Menteri Besar turut menyerahkan perkara itu kepada Sultan Kedah, manakala Ahmad memaklumkan pertemuan berkenaan positif.

Rabu lalu, PAS Kedah mengumumkan keyakinan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Mukhriz.

Keyakinan itu bersandarkan semangat kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dengan UMNO yang kini memiliki 17 kerusi DUN, selain kepincangan dan permasalahan didakwa berlaku dalam kalangan ADUN PH.

Ketika ini, komposisi DUN Kedah menyaksikan PAS menguasai 15 kerusi, PKR (tujuh), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (enam), Parti Amanah Negara (empat), DAP (dua) dan UMNO (dua).

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika keluar selepas mengadakan perjumpaan tertutup di Kompleks PAS Kedah, hari ini. - NSTP/AMRAN HAMID
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika keluar selepas mengadakan perjumpaan tertutup di Kompleks PAS Kedah, hari ini. – NSTP/AMRAN HAMID

Leave a Reply