Pelumba basikal kebangsaan ligat jual roti john

Hebahkan !!!

KUALA TERENGGANU: Bukan sahaja ligat di lebuh raya tapi pelumba basikal kebangsaan, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff juga bijak menggunakan masa terluang pada bulan Ramadan ini dengan berniaga roti john di Kampung Bukit Putera Chalok, Setiu.

Siapa sangka raja bukit (jersi merah) perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 itu juga berbakat dalam dunia masakan hasil bimbingan ibu bapanya yang menjalankan perniagaan mi kawah di pasar malam.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu yang kini menyarung jersi pasukan Sapura Cycling Team (TSC), idea untuk membuka perniagaan itu hadir selepas menyedari banyak masa lapang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi selepas selesai melakukan rutin harian berlatih di rumah pada sebelah pagi mengikut program barisan jurulatih, saya mengambil peluang pada masa lapang ini berniaga roti john susulan bazar Ramadan tidak lagi dibenarkan.

“Ramuan makanan yang menjadi kegemaran pelbagai lapisan masyarakat ini saya buat sendiri hasil bimbingan ibu bapa dengan perisa ayam dan daging. Ia dijual dengan harga berpatutan kerana majoriti pembelinya adalah penduduk kampung setempat.

Muhammad Nur Aiman sedang melayan pelanggan di Kampung Bukit Putera Chalok Setiu. - NSTP/Ihsan Nur Aiman Mohd Zariff
Muhammad Nur Aiman sedang melayan pelanggan di Kampung Bukit Putera Chalok Setiu. – NSTP/Ihsan Nur Aiman Mohd Zariff

“Saya membuka perniagaan ini di rumah setiap hari pada jam empat hingga 6.45 petang bermula empat hari sebelum umat Islam menyambut ketibaan bulan puasa. Alhamdulillah, sambutan yang diterima daripada penggemar begitu menggalakkan dari awal Ramadan hingga kini.

“Mungkin makanan ini sesuai untuk dijadikan juadah berbuka puasa ataupun selepas solat sunat Tarawih. Dalam sehari saya mampu jual antara 80 hingga 90 biji yang saya beri nama ‘roti john baby’,” kata Aiman ketika ditemui.

Pada Februari lalu, bekas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) berusia 23 tahun itu muncul pelumba kebangsaan pertama bergelar raja bukit dalam pentas LTdL selepas negara menanti sejak 24 tahun lalu bermula edisi sulung pada 1996.

Kejayaan itu adalah pencapaian tertinggi buat pelumba muda TSC itu yang sebelum itu pernah sehari merasai gelaran Jersi Merah dalam saingan Tour of Peninsular.

“Selepas tidak dapat menyertai Tour of Thailand pada awal April dan GP Mediterranean Turkey pertengahan bulan lalu, saya hanya berlatih di rumah. Tapi kini saya juga sudah mula berkayuh di luar bermula jam 6.30 pagi selepas kerajaan membenarkan sukan yang tidak membabitkan perhimpunan dan sentuhan seperti basikal.

“Namun begitu dalam masa sama, saya tetap mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan keselamatan terjamin selain tetap mengamalkan kehidupan dalam normal baharu ini,” kata Aiman yang bercita-cita untuk berada dalam pentas Olimpik seperti jaguh dunia, Mohd Azizulhasni Awang.

Leave a Reply