Kenyataan media Pengerusi Biro Komunikasi Antarabangsa dan Diplomasi MCA Dr Tee Ching Seng – PBB wajar selesaikan masalah Rohingya di puncanya

Hebahkan !!!

Biro Komunikasi Antarabangsa dan Diplomasi MCA berpendapat, untuk menyelesaikan masalah pelarian Rohingya yang kembali menjadi isu hangat baru-baru ini, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia perlu bertindak terhadap puncanya, bukannya menggunakan pelbagai hujah kemanusiaan bagi meletakkan tanggungjawab ke bahu negara-negara destinasi pelarian tersebut, memandangkan tiada mana-mana negara yang berupaya menghulurkan bantuan secara berterusan, apatah lagi pandemik sedang menular sekarang.

The view of some of the 250 Rohingya refugees people rounded up by police and sitted on the path near The Ritz-Carlton, Langkawi on Sunday morning.(5thApril 2020)
(Picture courtesy by a media friend from Langkawi who posted this picture to the whatsapp group of APMM & Media Kedah)
(Picture captioned by G.C.TAN/The Star-5th APR 2020)

Kebanyakan pelarian Rohingya kali ini didatangkan oleh penyeludup manusia dari Cox’s Bazaar di Bangladesh melalui Laut Andaman dan dibiarkan hanyut ke negara-negara Asia Tenggara terutamanya Negara Thai, Malaysia dan Indonesia, berlainan daripada kumpulan pelarian yang lari dari Myanmar akibat konflik perkauman suatu ketika dahulu.

Keadaan laut di Teluk Bengal yang lebih tenang pada bulan April, Mei dan Jun setiap tahun menjadikan tempoh berkenaan ‘musim pilihan’ untuk pelarian-pelarian Rohingya yang tinggal sementara di Cox’s Bazaar menjadi pelarian semula, serta peluang mengaut untung besar bagi para penyeludup manusia. Oleh itu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) wajar membantu kerajaan Bangladesh meningkatkan kemudahan serta keselamatan tempat perlindungan untuk orang Rohingya yang berjumlah lebih sejuta di Cox’s Bazaar, di samping bertindak tegas ke atas para penyeludup manusia.

Sekiranya PBB berasa harapan untuk orang-orang Rohingya ini kembali ke Myanmar tidak cerah, maka ia perlu memberitahu mereka bahawa mereka akan ditempatkan secara berperingkat ke beberapa negara maju serta negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, selari dengan matlamat akhir PBB untuk membantu mereka mencari penyelesaian jangka panjang serta membina semula hidup mereka. Ini bagi meyakinkan mereka agar tidak lagi mencuba menyeludup dengan membahayakan nyawa.

Apa sekalipun, masalah orang-orang Rohingya ini perlu diselesaikan di puncanya, yang melibatkan konflik perkauman dengan sejarah yang panjang, di luar kemampuan Malaysia untuk menanganinya. Oleh itu PBB serta kerajaan Myanmar mestilah menformulasikan bersama satu pelan komprehensif menang-menang yang berkesan untuk orang-orang Rohingya ini kembali ke Myanmar apabila keselamatan diri dijamin oleh PBB, pelarian-pelarian ini berhak pulang mengikut kemahuan sendiri, dan PBB juga perlu membantu kerajaan Myanmar agar mereka ini sekurang-kurangnya mempunyai kerja nanti.

 

Leave a Reply