Doha, Riyadh bida jadi hos Sukan Asia Ke-21 2030

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR, 23 April — Majlis Olimpik Asia (OCA) menerima bidaan daripada Doha, ibu negara Qatar dan Riyadh, ibu negara Arab Saudi, untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2030.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan OCA, kedua-dua negara itu telah mengemukakan bidaan secara rasmi untuk menjadi hos kepada Sukan Asia ke-21 sebelum tarikh akhir bidaan yang ditetapkan OCA, iaitu 22 April.

Dokumen pembidaan daripada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan negara terbabit, disertai surat sokongan daripada bandar raya dan juga juga kerajaan masing-masing.

Presiden OCA Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah berkata, OCA gembira untuk menerima dua bidaan yang kuat untuk Sukan Asia 2030, yang menunjukkan keyakinan dan kepercayaan terhadap Gerakan Olimpik di Asia dan seterusnya meningkatkan reputasi negara dalam menjadi hos, kepada acara sukan berkelas dunia pada skala besar.

“Dengan dua bidaan untuk Sukan Asia, kita kini mempunyai kestabilan dan penerusan dalam gerakan sukan kita untuk dekad seterusnya.

“Ini akan membolehkan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan kami, para pentadbir dan yang lebih penting para atlet kami, untuk membuat perancangan masa hadapan untuk jangka masa pendek, pertengahan dan panjang.

“Ini meletakkan kami dalam kedudukan membanggakan dalam soal kalendar sukan kami dan sekali lagi menampilkan, yang Asia merupakan rakan kongsi utama dalam gerakan Olimpik global,” katanya.

Sesi pemilihan bandar raya tuan rumah untuk Sukan Asia ke-23 pada 2030, akan di adakan pada Mesyuarat Agung OCA pada 29 Nov 2020, bersampingan dengan Sukan Pantai Asia di Sanya, China.

Doha menjadi tuan rumah Sukan Asia ke-15 pada 2006, tetapi Arab Saudi tidak pernah menganjurkan sukan multi acara OCA.

Sukan Asia ke-19 akan berlangsung di Hangzhou, China pada 2022, dan Sukan Asia ke-20 akan dihoskan Aichi-Nagoya, Jepun pada 2026.

— BERNAMA

MENARIK

Leave a Reply