Permohonan kebenaran merayu Tony Pua dijadual semula 22 Julai ini

Hebahkan !!!

PUTRAJAYA, 23 April — Kes permohonan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua untuk kebenaran membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan penarikan balik saman fitnah Datuk Seri Najib Tun Razak terhadapnya dijadual semula pada 22 Julai ini.

Berdasarkan maklumat yang disiarkan di laman web mahkamah, perbicaraan tersebut sepatutnya didengar hari ini.

Peguam, Tan Cheng Leong, yang mewakili Pua, berkata mahkamah menjadualkan semula tarikh pendengaran kes itu semasa pengurusan kes yang dilakukan melalui e-Semakan pada Isnin lalu susulan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pua meminta kebenaran untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Okt 2019 yang membenarkan sebahagian daripada rayuannya.

Mahkamah Rayuan memutuskan Pua berhak memerima ganti rugi selepas Mahkamah Tinggi pada 2018 membenarkan permohonan Najib untuk menarik balik saman fitnah terhadap Pua berhubung pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Mahkamah itu juga mengarahkan jumlah ganti rugi itu dinilai oleh Mahkamah Tinggi selepas mengetepikan injunksi yang diperoleh Najib dalam kes samannya.

Pua merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Julai 2018 yang membenarkan Najib menarik balik saman terhadapnya walaupun Pua membantah.

Najib atas kapasiti peribadinya, menyaman Pua kerana mendakwa membuat kenyataan berbaur fitnah terhadapnya dalam video siaran langsung berdurasi dua minit dan 21 saat yang dimuat naik oleh Pua dalam laman Facebook rasminya.

— BERNAMA

Leave a Reply