PENGARAH BESAR FELDA GAGAL PENUHI JANJI, KETUA PENEROKA JADI MANGSA LEPAS KEMARAHAN

Hebahkan !!!

KETUA PENEROKA TERTEKAN DITOHMAH ANAK BUAH 

Ketua-ketua peneroka Felda tertekan selepas menjadi sasaran tohmahan anak buah sendiri ekoran salah faham berkaitan isu peruntukan khas Felda dalam menangani krisis COVID-19.



Ia susulan kenyataan Felda beberapa hari lalu yang memaklumkan telah mengagihkan bantuan makanan bernilai RM6.3 juta kepada hampir 70,000 keluarga peneroka di 317 buah tanah rancangan seluruh negara.

Ketua Kampung Felda Keembong Jengka 6, Saharuddin Lela berkata, kenyataan Pengarah Besar Felda itu sangat mengelirukan kerana setakat ini pihaknya tidak menerima sumbangan terus daripada Felda.

“Kenyataan itu telah menyebabkan ketua peneroka, ketua kampung dan pengurus rancangan terkena tempias kerana ada yang dimaki dan difitnah pilih kasih dalam pengagihan bantuan.

“JKKK Jengka 6 memohon Felda memperjelaskan kenyataan itu dan menyatakan tanah rancangan mana telah mendapat peruntukan RM6.3 juta supaya pemimpin di tanah rancangan tidak menjadi sasaran fitnah,” katanya.



Menurutnya, penubuhan Pusat Makanan Komuniti Rancangan (PMKR) adalah berbeza kerana dananya adalah daripada pelbagai sumber badan tertinggi di tanah rancangan, korporat dan sumbangan wakil rakyat.

Ketua Kampung Felda Jengka 7, Ahmad Zubir Abdul Rahim menyifatkan kenyataan dikeluarkan Felda itu tidak peka kerana memberi kesan kepada pemimpin di tanah rancangan yang bertungkus lumus dan berhadapan dengan pelbagai kerenah anak buah dalam musim PKP ini.

“Kenyataan orang besar Felda ini yang boleh dibaca dalam akhbar dan diakses di media sosial adalah jelas bahawa semua peneroka dapat bantuan.

“Jadi peneroka menuntut bantuan itu dan apabila gagal mereka menganggap ketua kampung atau ketua peneroka pilih kasih dan pengurus rancangan menipu,”katanya.

Ketua Kampung Felda Ulu Jempol, Idris Shah Musa berkata, setakat ini tanah rancangan tersebut tidak mendapat peruntukan yang `turun` dari Felda walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah masuk fasa 3.

“Saya tidak nampak apa-apa bentuk bantuan yang diberikan oleh Felda setakat ini kecuali tiga keluarga asnaf daripada pihak pihak Wilayah Jengka.

“Banyak bantuan diterima daripada Kerajaan negeri Pahang dan Exco Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Dr. Ismail Abd Muttalib dan NGO tempatan,”katanya.

Beliau turut mencadangkan Felda menyalurkan terus peruntukan sebanyak RM100 sekeluarga dalam bentuk barangan yang boleh diambil di kedai D`Mart rancangan.

Bagi Ketua Kampung Felda Sebertak, Bera Omar Hussien beliau turut menafikan ada menerima bantuan daripada Felda setakat ini walaupun sudah tersebar di media bantuan telah disalurkan kepada 317 Rancangan Felda di seluruh negara.

Menurut beliau bantuan yang diterima sebahagian peneroka di rancangan ini hanya daripada Kerajaan Pahang, wakil rakyat dan NGO tempatan.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Kota Gelanggi 1, Abdul Rahman Ghani menegaskan Setakat ini semua peneroka belum menerima apa-apa bantuan dari pihak Felda seperti yang diumumkan Pengarah Besar Felda baru-baru ini.

“Jika sekiranya bantuan yang diumum itu sudah sampai mohon segera diagih-agihkan kepada yang memerlukan di setiap rancangan dalam tempoh PKP Fasa 3 ini,”ujarnya.

Sumber – 
#PahangStory

Leave a Reply